Bendera Negeri


Perlis Indera Kayangan

Warna Kuning maksudnya D.Y.M.M. Raja. Warna biru maksudnya rakyat.Bendera itu maknanya kerjasama yang erat di antara Raja dan Rakyat Baginda.


Kedah Darul Aman

Merah ialah warna kebangsaan negeri Kedah yang turun temurun. Padi maknanya negeri ini makmur dalam hal kehidupan. Anak bulan tanda negeri ini beragama Islam. Perisai pula maksudnya Raja (Kerajaan) sentiasa menjaga dan memelihara rakyatnya dan penduduk dalam negeri ini daripada kezaliman.


Pulau Pinang Pulau Mutiara

Warna biru muda maksudnya warna laut yang indah di sekeliling pulau itu.Warna putih maksudnya Negeri Pulau Pinang yang aman damai. Warna kuning tanda kemakmuran. Pohon pinang ialah pohon dari mana pulau itu mendapat namanya.


Perak Darul Ridzuan

Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam. Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya.

Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan. Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.


Selangor Darul Ehsan

Empat bahagian yang berwarna kuning dan merah itu maksudnya daging dan darah iaitu unsur-unsur yang perlu untuk memeberi jiwa dan tenaga kepada negeri ini. Bulan bintang pula ialah sebagai Agama Islam, agama rasmi negri dan kesucian Agama Islam ditunjukkan dengan warna putih.


Negeri Sembilan Darul Khusus

Tanah kuning itu maksudnya D.Y.M.M Raja.bahagian tiga segi yang berwarna merah bermakna rakyat, sementara bahagian tiga segi yang berwarna hitam maksudnya Datuk-Datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi bahagian-bahagian negeri ini.


Melaka Bandar Bersejarah

Warna-warna merah, puith, kuning dan biru adalah warna-warna Bendera Persekutuan dan menunjukkan bahawa Melaka ialah sebuah negeri dalam Persekutuan, sementara anak bulan dan bintang pecah lima itu pula ialah tanda Agama Islam, agama negeri dan Malaysia.


Johor Darul Takzim

Anak bulan dan bintang yang berwarna putih itu menandakan Raja yang berdaulat. Bahagian yang berwarna merah bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri. Bahagian yang berwarna biru tua itu pula maksudnya Kerajaan Negeri.


Pahang Darul Makmur

Bendera Negeri Pahang adalah mengandungi dua warna iaitu putih di atas dan hitam di bawah. Kedua-duanya sama lebar.
Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintahan di negeri Pahang adalah seorang yang bertaraf Bendahara.
Putih adalah melambangkan Raja. Tambahan warna putih di atas hitam ini membawa makna bahawa Negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan Beraja.

Ini juga membawa erti bahawa negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tata susila serta kuasa-kuasa yang tertentu yang ada pada Raja sebagai sebuah negeri yang beraja dan berdaulat.


Terengganu Darul Iman

Latar belakang berwarna putih maksudnya D.Y.M.M. Sultan. Ia melingkungi tanah hitam yang bermakna rakyat- oleh itu bermakna Sultan adalah memberi perlindungan kepada seluruh rakyat Baginda. Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama rasmi negeri.


Kelantan Darul Naim

Latar belakang berwarna merah maksudnya kejujuran penduduk rakyat Raja. Lambang kebesaran berwarna itu tanda kesucian Raja negeri ini.


Sabah Negeri Di Bawah Bayu

Bendera negeri Sabah berbentuk persegi panjang berukuran 1:2. Di antara sudut sebelah atas bendera berwarna biru cerah, yang menjadi latar belakang lukisan grafik bayangan Gunung Kinabalu, berwarna biru tua, meliputi suku bahagian bendera ini. Bahagian hujung bendera yang berkibar dihiasi tiga jalur yang sama besar. Jalur atas berwarna biru muda, jalur tengah berwarna putih dan jalur bawah berwarna merah cili.

Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan.

Warna biru cerah menunjukkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama.

Kelima-lima warna yang menghiasi bendera ini mewakili lima bahagian yang terkandung dalam Negeri Sabah. Lukisan grafik berbentuk Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah.


Sarawak Bumi Kenyalang

Warna merah melambangkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan rakyat dalam daya usaha mereka yang berterusan untuk mengejar serta mempertahankan kemajuan dan ketinggian marauh dalam proses membina Sarawak sebagai negeri contoh.Warna kuning menggambarkan keagungan Perundangan dan Peraturan (Order), perpadaun serta stabiliti dalam masyarakat yang berbilang kaum.Warna hitam melambangkan kekayaan sumber asli Sarawak seperti minyak mentah, balak dan sebagainya yang merupakan landasan bagi memajukan rakyatnya.Bintang yang berwarna kuning bermuncung sembilan melambangkan sembilan bahagian di mana rakyatnya tinggal di dalam harmonis.

Simbol bintang juga merupakan cita-cita tinggi rakyat kita dan hasrat perjuangan kita unutk meninggikan mutu kehidupan selepas merdeka.

error: Content is protected !!