Lambang Negeri

Perlis Indera Kayangan

Lengkaran padi itu maksudnya pekerjaan utama dan hasil utama negeri iaitu padi. Perisai tanda kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.

Kedah Darul Aman

Lengkaran itu maksudnya padi, tanaman utama negeri ini. Anak bulan tanda Agama Islam. Perisai pula tanda kekuasaan.


Pulau Pinang Pulau Mutiara

Pohon pinang ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandungi gambar Jambatan Besar Pulau Pinang yang mempunyai dua (2) tiang dan empat (4) kabel yang menegakkan tiang tersebut. Dua (2) tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat (4) kabel pula menggambarkan empat (4) jenis keturunan di negeri ini iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima (5) tiap-tiap satu warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang.


Perak Darul Ridzuan

Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi.Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah.Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai agama rasmi.Bunga padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.


Selangor Darul Ehsan

Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah Sambu-warna. Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di Kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan Jawi yang berbunyi “Dipelihara Allah” ialah cogan negeri. Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai iakt pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu.


Negeri Sembilan Darul Khusus

Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama. Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada masa yang lalu dengan British. Warna hitam maksudnya Datuk-datuk Undang. Warna kuning maknanya Yang Di Pertuan Besar. Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri dalam gabungan lama. Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan. Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah “Changgai Putri” tanda Kebesaran Yang Di Pertuan Besar.


Melaka Bandar Bersejarah

Warna merah, putih, kuning dan biru maknanya Melaka sebuah negeri dalam Malaysia. Lima bilah keris maksudnya lima orang pahlawan termasyhur di Melaka pada zaman dahulu. Anak bulan dan bintang pecah lima tanda Agama Islam, agama rasmi negeri. Pokok Melaka ialah pohon dari mana negeri itu mendapat namanya. Dua ekor pelandok yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat tua iaitu pelandoklah yang telah menyebabkan Raja Melaka yang pertama mengambil keputusan untuk menetap dalam negeri ini dan membukanya.

Johor Darul Takzim

Mahkota tanda D.Y.M.M. Raja Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan Empat Buah Jajahan besar asal negeri itu, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau; sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam. Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga di sebelah bawah perisai maksudnya Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini.

“KEPADA ALLAH BERSERAH” ialah cogan negeri itu.


Pahang Darul Makmur

Mata cogan berbentuk daun kopi itu semuanya diperbuat daripada emas termasuk penongkok dan taran.Tujuan dipilih logam emas itu ialah melambangkan bahawa dalam tahun 1862 emas merupakan hasil masyur yang utama di Negeri Pahang.Keduanya tiada kebal yang boleh menahan senjata yang diperbuat dari emas.Gading yang bersilang dibawah daun kopi itu melambangkan bahawa ketika itu gading gajah terdapat dengan banyaknya serata negeri Pahang sehingga ia menjadi satu perdagangan yang besar.Kalimah ” Ya La Tif ” bermaksud yang lemah lembut.Simboliknya pemerintah tidak menggunakan kekerasan.” Ya La Tif ” juga dijadikan azimat yang berguna.


Terengganu Darul Iman

Bulan bintang menunjukkan negeri Islam. Mahkota menandakan pemerintahan Di Raja. Pedang, Keris Panjang dan Cokmar pula merupakan Alat Kebesaran Negeri. Manakala di sebelah kanannya ialah Quran melambangkan Undang-undang. Buku Undang-undang di sebelah kiri pula melambangkan keadilan. Wali/Selampai melambangkan Alat-alat Istiadat Kebesaran.


Kelantan Darul Naim

Mahkota itu tanda Kedaulatan Sultan. Dua tombak dan dua keris maksudnya kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Anak bulan dan bintang adalah tanda Islam. Dua pucuk meriam maknanya bahawa negeri ini adalah sentiasa sedia untuk mempertahankan dirinya. Dua ekor kijang mengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini tatkala Che’ Wan Kembang (atau Che’ Siti) Permaisuri Kelantan (kira-kira pada akhir kurun yang ke 14) yang kerana terlalu kasih kepada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu.

“BERSERAH KEPADA TUHAN KERAJAAN KELANTAN” ialah cogankata negeri ini.


Sabah Negeri Di Bawah Bayu

Lambang Negeri Sabah terdiri dari dua bahagian iaitu atas yang berupa dua lengan berwarna kuning sedang menjulang Bendera Negeri yang terletak di atas satu susunan lima warna Negeri iaitu biru zirkon, merah cili, putih, biru salji dan nilakandi. Di bawahnya iaitu tubuh utama lambang ini yang berbentuk sebuah perisai. Bahagian atas perisai ini tersusun tiga warna Negeri iaitu biru zirkon, putih dan merah cili dalam bentuk V. Bahagian bawah perisai ini terdapat bentuk Gunung Kinabalu berwarna nilakandi yang berlatarbelakangkan warna biru salji. Perisai itu dipangku oleh sehelai skrol berwarna merah yang tertulis dengan cogankata negeri Sabah “Sabah Maju Jaya” berwarna putih.Dua lengan yang menjulang Bendera Negeri itu melambangkan perpaduan dan kerjasama di kalangan masyarakat berbagai kaum di negeri ini ke arah kemajuan dan kejayaan.Lima warna yang tersusun itu bermakna lima buah Bahagian Pentadbiran Negeri Sabah. Warna biru zirkon melambangkan keamanan dan ketenteraman, warna putih melambangkan kemurnian dan keadilan. Merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Biru Salji melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara nilakandi melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama.Bentuk Gunung Kinabalu melambangkan Negeri Sabah.


Sarawak Bumi Kenyalang

Lambang negeri menjunjungkan kemegahan “Bumi Kenyalang: terbang tinggi dengan aspirasi dan pencapaian dalam semua lapangan daya usaha, berpandukan ideologi “politik pembangunan”. Lencana negeri ini juga boleh membezakan keunggulan Sarawak daripada negeri-negeri lain di dunia.

error: Content is protected !!